Pada 15 hingga 16 Januari telah berlangsung Bengkel Penulisan Karya Kreatif, Peringkat Wilayah Timur, bersama Sasterawan Utara dan Timur. Ia dianjurkan bersama oleh Pusat Penerbitan Universiti (UPENA) UiTM Malaysia dan (UPENA) UiTM Terengganu. Bengkel yang bertempat di Dewan Jasmin telah disertai hampir 40 orang peserta. Majoriti peserta adalah terdiri dari para pensyarah dari belbagai disiplin. Saya juga merasa terpanggil untuk menyertai bengkel ini lebih-lebih lagi kerana ianya akan disampaikan oleh sasterawan-sasterawan yang telah established.


Bengkel Penulisan ini telah dirasmikan oleh Prof. Madya Hajjah Wan Dorishah Wan Abdul Manan, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik. Di antara perkara yang disentuh dalam ucapan beliau ialah kewajaran pensyarah menceburi karya kreatif selain dari penumpuan dalam bidang akademik semata-mata. Pensyarah UiTM Terengganu juga mungkin mampu menghasilkan karya-karya kreatif yang hebat.
Seterusnya, sesi Pertama bermula dengan ceramah yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Ghafarullahuddin Hj. Din, Pensyarah Pusat Pemikiran Dan Kefahaman Islam (CITU) merangkap Koordinator Karya Islam UPENA UiTM Shah Alam. Beliau telah mengupas hasil dari kertas kerja yang beliau siapkan bertajuk "Membudayakan Aktiviti Penulisan Sebagai Ibadah". Penghuraian telah dibuat dari sudut perspektif Al-Quran, Al-Sunnah dan juga Al-Salaf Al-Salih. Beliau yang telah menghasilkan beberapa buah buku, tidak lupa menekankan penghasilan karya tentunya mampu menghasilkan pendapatan yang lumayan. Itu ternyata satu daya penarik.



Sesi ceramah ke-2 telah disampaikan oleh Encik Jamaludin Bin Darus atau 'Jamaludin D'. Beliau yang pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan Melayu/Public Bank, lebih menumpukan kepada penghasilan Puisi. Di antara puisi beliau adalah Wayang 1989, Lubang-lubang duka indah berkilau 1992 dan Asin Musim Genting 1992. Saya agak teruja dengan penyampaian beliau dan apabila beliau mahukan semua peserta menghasilkan satu sajak seorang, saya terus mencuba. Akhirnya saya berjaya menghasilkan satu sajak berjudul "Mana Amerika".
Ceramah ke-3 pula disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato' Haji Abdul Halim Haji Salleh atau nama penanya 'Abdul Halim "R". Beliau yang telah berumur 72 tahun ini masih gagah untuk mengajar cara-cara menggarap pantun dengan cara yang berjenaka. Penerima Anugerah Tokoh Sastera Warisan ini juga telah meminta semua peserta menghasilkan sekurang-kurangnya serangkap pantun. Saya berjaya menggarap dua rangkap pantun. Ia tidaklah susah jika fikiran difokuskan kepada mesej yang hendak disampaikan.
Ceramah ke-4 disampaikan oleh Dr. Osman Ayob. Ceramah kali ini berkisar tentang bagaimana menghasilkan sebuah novel. Beliau menyentuh tentang pembinaan plot dan watak dan sebagainya. Ini terkandung di dalam kertas kerja yang diedarkan bertajuk "Sejarah dan Asas Penulisan Novel". Di akhir ceramah beliau menghendaki peserta menyediakan satu sinopsis untuk dilihatnya. Saya amat berminat tapi tidak sempat menyediakannya namun ada peserta yang berjaya menyiapkan satu sinopsis yang lengkap. Hebat.



Ceramah Ke-5 telah disampaikan oleh Encik Rejab FI atau Pak Rejab yang berasal dari "Indera Kayangan". Beliau yang terkenal dengan penghasilan Cerpen ini tidak lokek berkongsi ilmu yang ada. Peserta dikehendaki membaca cerpen "kudrat" yang merupakan cerpen pertama dalam antologi cerpen beliau yang juga berjudul Kudrat. Saya sempat membacanya, walaupun nampak mudah, tapi untuk menghasilkan satu cerpen yang menarik bukan mudah. Walaubagaimanapun, saya nyatakan pada Pak Rejab, saya akan cuba hasilkan satu cerpen sebelum penghujung bulan ini.
Ceramah ke-6 disampaikan oleh Cikgu Ismail bin Ahmad atau nama pena beliau "Ismail Restu", yang mahir dengan penghasilan penulisan karya kanak-kanak. Beliau yang telah menghasilkan lebih 30 buah buku adalah seorang yang amat ceria dan suka berjenaka. Saya rasa, kehadiran Pak Mail, menghidupkan suasana bengkel terutamanya di sesi petang. Tidak kering gusi dibuatnya. Beliau menjadikan penulisan cerita kanak-kanak kelihatan begitu mudah. Saya yakin tentu ada antara peserta yang akan menghasilkan bukan sebuah tapi satu set cerita kanak-kanak.
Ceramah yang terakhir telah disampaikan oleh Tuan Sharif Tuan Putera dari Kuala Terengganu. Beliau telah mengulas buku yang ditulis oleh Azizi Haji Abdullah bertajuk "Maruah". Dalam sesi resensi Novel ini beliau mengajak peserta mengupas isipati novel tersebut. Sesi ini membimbing saya untuk lebih berhati-hati apabila menulis sebuat novel. Perlu ada research.
Di akhir bengkel, sasterawan-sasterawan veteran ini telah membuat ulasan kepada semua sajak dan pantun yang dihasilkan oleh peserta. Sungguh rapi nilaian yang diberi, terutamanya Halim R. Penghasilan peserta amat membanggakan pihak sasterawan dan UPENA. Pak Rejab mencadangkan UPENA mengeluarkan satu antologi yang akan memuatkan hasil karya peserta-peserta bengkel penulisan kali ini. Semua menyokong. Karya-karya yang akan diterbitkan adalah yang berkisar mengenai kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di semenanjung Gaza. Hasil jualan antologi ini nanti dapat disumbangkan kepada rakyat Palestin. InsyaAllah.
Secara keseluruhan, bengkel ini mencapai objektif yang diharapkan. Terima kasih daun keladi kepada Encik Gopala dan PM Dr. Ghafarullahuddin. Lain kali ada peluang anjurlah lagi.
"Bangkitnya sasterawan Kampus Dungun"