Satu majlis dialog di antara pelajar dan pengurusan PTPTN telah berlangsung di Dewan Aspirasi UiTM Terengganu pada 16 Januari 2009. Majlis bermula jam 9.30 pagi dan dihadiri oleh semua pelajar yang memohon PTPTN terutamanya pelajar dari semester satu.


Mewakili pihak pengurusan UiTM Terengganu ialah Prof. Madya Haji Abdul Rahim Ramli, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar. Tetamu UiTM hari ini ialah Yang berbahagia, Dato' Dr. Mohamad Shahrum Osman, Pengerusi PTPTN. Turut mengiringi Dato' Dr. Mohamad ialah Encik Yunos Abdul Ghani, iaitu Ketua Eksekutif PTPTN. Seperti biasa, saya telah mempengerusikan majlis pada pagi ini.
Apa yang disarankan oleh pihak pengurusan PTPTN adalah supaya pelajar lebih berhemah berbelanja. Amat penting pelajar berjimat cemat dan pentingkan pelajaran dan bukannya barangan yang mendatangkan keseronokan sementara.
Selesai sahaja ucapan dari Dato' Pengerusi PTPTN, pelajar diberi peluang untuk melontarkan soalan-soalan. 10 orang pelajar telah menanyakan belbagai soalan yang berkaitan dengan PTPTN. Kebanyakan soalan telah dijawab oleh Encik Yunos Abdul Ghani. Seringkali soalan yang ditanya adalah bila mereka boleh dapatkan pinjaman. Dan Encik Yunos mengingatkan pelajar perkara yang sama, iaitu pentingkan pelajaran dan berjimatlah ketika ada wang.
Selesai sesi dialog, pelajar terus berurusan dengan pihak urusetia PTPTN dikaunter yang disediakan di Dewan Aspirasi. Urusan kali ini lebih sistematik kerana pihak urusetia menyediakan sistem nombor. Pegawai Pembangunan Pelajar yang bertugas pada sesi petang adalah Dr. Haji Mohd Faiz Burhanuddin, sementara seliaan dijalankan oleh Puan Zariah Abu Bakar.
"Berjimat sentiasa"